Pernah tak waktu kita dalam kesedihan, tertekan, waktu itulah kita terdetik nak baca Quran. Dan bila kita baca terjemahan ayat yang dibaca, rasa seolah-olah ayat yang dibaca itu memahami apa yang sedang kita alami.
Padahal ayat tu selalu je kita baca, tapi pada saat itu perasaannya sangat lain.
Mesti pernah kan?
Benda ni tak pelik. Sebab memang sifat al-Quran sebegitu.
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ قَدْ جَآءَتْكُم مَّوْعِظَةٌۭ مِّن رَّبِّكُمْ وَشِفَآءٌۭ لِّمَا فِى ٱلصُّدُورِ وَهُدًۭى وَرَحْمَةٌۭ لِّلْمُؤْمِنِينَ
Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.
[Surah Yunus: 57]
Dalam ayat ini, Allah SWT menyifatkan Al-Quran itu ada 4 sifat atau fungsi:
- مَّوْعِظَةٌۭ : Peringatan
- شِفَآءٌۭ : Penyembuh
- وَهُدًى : Petunjuk
- رَحْمَةٌۭ : Rahmat
Perhatikan pada permulaan ayat ini iaitu:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ
Maksudnya: Wahai sekalian manusia
Seluruh manusia.
Tak kira Muslim atau tidak.
Beriman atau tidak.
Dua sifat pertama iaitu peringatan (mau’izah) dan penyembuh (shifa’) disasarkan untuk kita semua.
Manakala dua yang seterusnya, Petunjuk dan Rahmat khusus untuk;
لِّلْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya: Orang-orang yang beriman.
Selain itu, perhatikan juga perkataan;
قَدْ جَآءَتْكُم
Maksudnya: Telah datang kepada kamu
Telah datang = sudah bersedia.
Dari sini kita dapat faham Al-Quran sentiasa sudah bersedia untuk jadi;
- Peringatan jika kita terleka
- Penyembuh jika kita sakit atau tertekan
- Petunjuk jika kita hilang arah tuju
- Wasilah/pengantara jika kita nak mencari Rahmat Allah
Memetik dari buku Dan Tuhan Akan Tetap Menjaga Kita,
Membaca al-Quran itu sebenarnya sebuah interaksi
Untuk mencapai fungsi al-Quran itu, kita perlu berinteraksi dengan Quran.
Dan interaksi tidak akan berlaku tanpa penglibatan antara 2 pihak.
Jika Quran (pihak 1) sudah bersiap sedia menunggu kita, manakal kita sebagai pihak kedua pula kena menjadi orang yang sentiasa mencari sesuatu (Quran).
Begitulah perasaannya yang perlu kita pupuk untuk merasai kehebatan mukjizat yang ditinggalkan untuk kita.
Sentiasa tercari-cari, teraba-raba, terkejar-kejar untuk membacanya.
Sehari tidak baca akan rasa sangat gelisah.
Kurangkan ego, rendahkan hati.
Berinteraksilah dengan Quran, kalam-kalam Allah Yang Maha Agung.
Bak kata penulis, Ustaz Fakhri,
Jadilah sebagai seorang seeker yang yakin, sudah pasti apa yang kita cari itu dijumpai dalam al-Quran.
Sumber:
- Buku Dan Tuhan Akan Tetap Menjaga Kita, tulisan Fakhri Fadzli
Leave a Reply